SEREMBAN - Tindakan seorang lelaki meminjamkan kad bank kepada rakannya membawa padah apabila namanya dikaitkan dengan kes jenayah penipuan pinjaman tidak wujud.
Semuanya bermula apabila mangsa, Yee Yong Kian 32, merupakan seorang jurujual bersetuju menyerahkan kad ATM bank CIMB miliknya kepada rakannya berusia 28 tahun pada 28 Jun lalu dalam kejadian di Lobak, di sini.
Menurutnya, dia menyerahkan kad ATM itu tanpa mengesyaki apa-apa apabila rakannya itu meminta bantuannya bagi membolehkan duit gaji dimasukkan dalam akaun berkenaan.
“Lagipun, kad ATM itu saya tak gunakan lagi. Dalam akaun pun tak ada duit. Sebab itu saya tak ragu-ragu terus serahkan kad kepadanya termasuk nombor pin pengeluaran wang," katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas dua hari, dia cuba menghubungi rakannya itu, tetapi gagal.
"Ketika saya di Johor Bahru selama dua minggu kerana tugas, saya cuba lagi hubunginya semula. Tetapi sama juga masih gagal. Kemudian dia hubungi saya semula dan saya minta dia tunggu sehingga saya balik dari Johor Bahru nanti.
“Bila saya pulang ke sini, saya cuba hubungi dan hantar SMS kepadanya semula, tetapi gagal. Hampir sebulan juga saya gagal untuk hubunginya untuk mendapatkan semula kad ATM saya," katanya.
Yong Kian berkata, masalah bermula penghujung Ogos lalu apabila tiba-tiba dia mendapat makluman daripada pihak polis yang kad ATM yang dipinjamkan itu terbabit jenayah sindiket penipuan.
Menurutnya, sindiket berkenan menawarkan pinjaman tidak wujud membabitkan penipuan RM360,000 daripada mangsa-mangsa.
“Saya terkejut, sedangkan saya tidak berbuat apa-apa kesalahan jenayah pun. Atas keselamatan, saya terus membuat laporan polis di Seremban pada 5 September lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Berikutan kes tersebut, katanya, dia juga menanggung akibat apabila didenda RM8,600 bagi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 424 di mahkamah.
Lebih mengejutkan, kata Yong Kian, dia mendapat tahu sebanyak 26 laporan polis di 24 balai polis seluruh negara berkenaan dengan kes ini dibuat mangsa-mangsa yang tertipu.
“Kesemua mangsa tersebut membuat laporan polis di kawasan masing-masing selepas merasakan diri mereka terperdaya pada pinjaman yang tidak wujud.
"Modus operandi sindiket tersebut dipercayai meminta mangsa mendahulukan wang deposit untuk membuat pinjaman," katanya.
Menurutnya, dia sudah memberikan kerjasama terhadap polis berdasarkan soal siasat terhadapnya.
Full story: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/bahana-pinjamkan-kad-atm-1.745996
No comments:
Post a Comment