Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Wan Rasdi Wan Ismail berkata, setakat ini bekalan air mentah itu dapat bertahan sehingga hujung Jun atau awal Julai ini.
"Kedudukan empangan kita masih bertahan kerana kita tidak guna air dari empangan, sebaliknya air mentah dari sungai. Empangan adalah sumber air terakhir yang kita akan pakai sekiranya sumber air dari sungai tidak mencukupi.
"Sekiranya hujan, ia akan mengalir ke sungai dan kita akan manfaatkan untuk memprosesnya...cuaca pun kalau kita tengok sudah mula berubah dan minggu ini sudah ada hujan di beberapa tempat berbanding panas terik dua minggu lalu," katanya.
Wan Rasdi berkata demikian selepas menutup Hari Terbuka Loji Rawatan Air sempena Hari Air Sedunia 2016 anjuran Sains di sini hari ini.
Ia sebagai mengulas status terkini paras air di tujuh empangan iaitu Empangan Gemencheh di Tampin, Empangan Talang (Kuala Pilah), Empangan Triang (Jelebu), Empangan Sungai Terip (Seremban), Empangan Kelinchi (Kuala Pilah), Empangan Ulu Sepri (Rembau) dan Empangan Sungai Beringin (Rembau).
Wan Rasdi berkata, kedudukan air di negeri ini masih terkawal walaupun terdapat sedikit penurunan di kebanyakan empangan iaitu secara purata 30 peratus kecuali Empangan Gemencheh yang berada pada paras satu meter di bawah paras kritikal.
"Walaupun berada pada paras kritikal, kita dapat mengepam air dari Sungai Jelai untuk menggantikan air yang kita ambil dari empangan supaya paras kritikal dapat dipertahankan.
"Buat masa sekarang kita masih membahagikan air untuk loji rawatan dan air untuk pertanian," katanya. –Bernama
No comments:
Post a Comment