SEREMBAN, 12 Julai (Bernama) -- Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) menasihati penduduk negeri ini untuk berjimat cermat dan menggunakan air secara berhemah semasa menyambut Aidilfitri.
Pengarah SAINS Wan Rasdi Wan Ismail berkata kadar penggunaan air pada musim perayaan sering menunjukkan peningkatan mendadak disebabkan pertambahan anggota keluarga yang pulang ke kampung untuk beraya.
"SAINS berharap sikap berhemah dalam penggunaan air dapat diamalkan bagi mengelakkan sebarang gangguan terutamanya ketika musim perayaan ini," katanya.
Beliau berkata di samping itu, SAINS akan turut memantau dan sedaya upaya cuba mengurangkan gangguan yang mungkin timbul agar para pelanggan dapat menyambut perayaan dengan sempurna.
"Untuk tujuan itu, SAINS akan melaksanakan Pelan Tindakan Kontingensi selama tujuh hari bermula 15 Julai ini dan seramai 500 kakitangan SAINS akan bertugas sepanjang tempoh tersebut," katanya.
Wan Rasdi berkata sepanjang tempoh perayaan, SAINS mengenal pasti beberapa kawasan di Tampin, Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol yang kerap berlaku gangguan bekalan air.
Sehubungan itu, beliau berkata bekalan air akan disediakan melalui 87 tangki statik dan 12 buah lori air.
"Selain penyediaan tangki statik dan lori air, SAINS turut melaksanakan pelbagai alternatif lain agar gangguan dapat dikurangkan.
"Antara langkah-langkah yang telah diambil ialah melaksanakan penyelenggaraan injap, kolam dan rumah pam, mengaktifkan pam penggalak serta pemantauan paras kolam secara berkala," katanya.
SAINS turut memohan kerjasama para pelanggan untuk melaporkan sebarang insiden paip pecah dan sebagainya di talian bebas tol 1-800-88-6982, supaya tindakan segera dapat diambil.
Para pelanggan juga boleh melayari laman web SAINS www.sainswater.com untuk mendapatkan maklumat terkini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment