SEREMBAN 8 Julai – Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan boleh melalui susur keluar dan masuk di persimpangan bertingkat Seremban yang baharu berhampiran Bandar Ainsdale, Labu apabila ia dibuka secara rasmi petang Jumaat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan adanya persimpangan bertingkat baharu itu, diharap pengguna lebuh raya membuat pilihan bijak untuk meneruskan perjalanan khususnya mereka yang mendiami kawasan seperti Seremban 2, Sendayan, Gadung Jaya mahupun Labu Jaya.
“Kita berharap penduduk di kawasan terbabit yang ke utara mahupun selatan menggunakan persimpangan bertingkat yang baharu ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Perasmian Persimpangan Bertingkat Seremban Baharu (Bandar Ainsdale) itu dibuat Mohamad bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada pukul 2.30 petang Jumaat ini dengan plaza tol baharu itu dikenali sebagai Plaza Tol Bandar Ainsdale.
Tambah beliau, pembukaan persimpangan berkenaan juga akan dapat mengurangkan kesesakan di Plaza Tol Seremban sedia ada.
“Pembinaan persimpangan bertingkat yang baharu itu juga telah mengambil kira pembangunan pesat yang akan berlaku di kawasan terbabit,” ujarnya.
“Selepas dirasmikan, laluan itu akan dibuka kepada pengguna lebuh raya. Kadar tol di situ juga akan diumumkan pada hari tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di kawasan Plaza Tol Bandar Ainsdale mendapati terdapat lima lorong pembayaran di kedua-dua hala dengan hampir semuanya menggunakan bayaran tol secara elektronik.
Sementara itu, Mohamad juga memberitahu, projek pembangunan Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) kini diteruskan selepas proses pengambilan tanah selesai dibuat.
“Ketika ini kerja membina laluan bertingkat di simpang empat berhampiran Muzium Negeri (Jalan Sungai Ujong) sedang dilakukan, yang mana apabila siap kelak pemandu dari Rasah mahupun Labu tidak perlu berhadapan dengan lampu isyarat.
“Ini juga dapat mengurangkan kesesakan di Jalan Sungai Ujong terutama mereka yang hendak ke Seremban 2 atau yang masuk dan keluar di Plaza Tol Seremban,” ujarnya.
Jelasnya, penyambungan projek MRRS itu peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang terhenti disebabkan proses pengambilan tanah, sementara projek pembesaran Jalan Labu Lama berada dalam pakej penyempurnaan MRRS sehingga selesai adalah di bawah peruntukan RMK-11.
“Kita akan naik taraf Jalan Labu Lama di bawah pakej baharu RMK-11 selepas laluan bertingkat itu selesai dibuat,” tegasnya.
Kata Mohamad lagi, dalam masa yang sama juga, satu lagi susur keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan dari Seremban 2 menghala utara akan dibina berdekatan jejambat sedia ada, bagi mengelakkan kesesakan di susur keluar dekat Plaza Tol Seremban sedia ada.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/plaza-tol-bandar-ainsdale-dibuka-esok-1.112006#sthash.WY3GKJep.dpuf
No comments:
Post a Comment