Mohamad jumpa Najib bincang MVV 10 Julai

 


SEREMBAN 1 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pelaksanaan pembangunan wilayah ekonomi baharu, Malaysia Vision Valley (MVV) di kawasan barat negeri ini pada 10 Julai ini.

Katanya, pertemuan itu untuk membincangkan terma dan syarat bagi membangunkan wilayah ekonomi baharu itu di kawasan seluas 108,000 hektar yang bakal melengkapkan pembangunan Lembah Kelang.

“Pertemuan itu akan membincangkan sama ada perlu ditubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu atau pun mewujudkan satu pihak berkuasa yang menguruskan pembangunan di situ sebagaimana koridor-koridor pembangunan lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Kata Mohamad, hal itu akan diputuskan bersama Perdana Menteri supaya pelaksanaan MVV dapat berjalan lancar sebaik sahaja Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bermula tahun hadapan.

“Konsepnya tidak seperti koridor wilayah yang lain, tetapi MVV ini dilakukan dengan pemacu swasta yang mengumpulkan beberapa pemilik tanah, ladang mahupun estet dan diadakan pelan induk untuk satu pembangunan bandar yang besar,” ujarnya.
Mohamad berkata, di bawah MVV ini, Kerajaan Pusat akan membantu untuk membangunkan infrastruktur.

Kata beliau, antara perancangan yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri termasuklah usaha menarik pelabur baharu dalam konsep menyediakan industri berasaskan kampus.
“Karektor pelabur selalu berubah dan bagi syarikat multinasional dan antarabangsa, mereka lebih berminat membina pelan industri lengkap dengan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), kompleks latihan, asrama dan sebagainya dalam tapak industri yang dibangunkan.
“Itu juga yang akan diadunkan dalam pakej pembangunan MVV ini,” katanya.
Jelasnya, selepas kerajaan negeri memperkenalkan Dasar Perumahan Negeri 2015 bagi rumah mampu milik, pihaknya akan perkenalkan pula skim kedai mampu milik dan diikuti industri mampu milik.

“Dalam kawasan MVV itu, terdapat 2,630.457 hektar yang akan dijadikan tapak industri, di mana dalamnya akan dicadangkan juga untuk diwujudkan kawasan industri mampu milik khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memberi peluang golongan itu memiliki industri sendiri atau lot tanah yang ditawarkan,” katanya.

Mengenai Central Park di bawah pakej pembangunan MVV itu, Mohamad memberitahu, memang dinyatakan bahawa satu taman riadah dan rekreasi perlu diwujudkan sekurang-kurangnya berkeluasan 404.686 hektar.

“Taman itu akan ditanam pokok besar, ada trek joging dan kawasan rehat yang nyaman. Namun begitu di beberapa kawasan pembangunan lain di bawah pakej MVV itu, akan ada juga kawasan hijau untuk kegunaan rakyat,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, pembangunan wilayah ekonomi baharu MVV itu adalah juga dalam radar pembangunan Negeri Sembilan yang mana ia dikenali sebagai Pelan Pembangunan dan Pemodenan Negeri Sembilan 30 Tahun, bermula 2015 hingga 2045.
MVV akan dipacu seiring pelaksanaannya sehingga tahun 2045 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) adalah RM641 bilion, yang juga akan menyaksikan penambahan sebanyak 3.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mohamad-jumpa-najib-bincang-mvv-10-julai-1.109566#sthash.TpYIAQYD.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment