Seremban: EndauPV Industries Sdn Bhd (EndauPV), syarikat Bumiputera terbabit dalam industri pembuatan panel solar menjangka mampu mencapai jualan tahunan RM50 juta berikutan peningkatan permintaan produk itu dari Afrika, Indonesia dan Filipina.
Syarikat yang beroperasi di Lembah Teknologi Sendayan, di sini, mendapat lesen untuk mengeksport modul bersepadu keapungan badan dan modul solar jenis blok prefab iaitu sistem solar terapung dalam air pertama di Asia Tenggara ke Indonesia, Filipina dan Afrika.
Pengarah Urusan EndauPV, Ahmad Abu Kassim berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Green Solution Co Ltd dari Korea Selatan dalam penghasilan teknologi berkenaan.
Menurutnya, projek terbabit bakal menjadi penyumbang utama kepada syarikat kerana pembangunan teknologi hijau di negara yang menerima banyak cahaya matahari termasuk Asia dan Afrika semakin meningkat.
“Projek ini memiliki potensi besar kerana syarikat kami satu-satunya di Malaysia yang menghasilkan modul bersepadu dan modul solar yang boleh terapung dalam air dan berada atas tanah.
“Kami menerima tempahan dari Kenya untuk menghasilkan kedua-dua modul itu membabitkan 72,000 unit bernilai AS$9 juta (RM34.3 juta) hingga akhir tahun ini,” katanya selepas pembukaan Kilang EndauPV oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Harjeet Singh di sini, semalam.
Pada majlis itu, EndauPV diwakili Ahmad manakala Green Solution diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hong Hyung Eui.
Ahmad berkata, EndauPV berhasrat meneroka pasaran serantau dalam jangka panjang memandangkan syarikatnya berupaya menghasilkan panel solar berkapasiti AS$30 juta (RM114 juta) setahun.
Sementara itu, Harjeet berkata, usaha sama antara kedua-dua syarikat itu selaras dengan usaha kerajaan untuk membangunkan industri berasaskan teknologi hijau yang menghasilkan produk untuk ladang solar terapung di pasaran tempatan dan dieksport ke Asean, Asia dan Afrika.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67190#sthash.tVfoYJO9.dpuf
No comments:
Post a Comment