SEREMBAN - Tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di jejambat Bukit Putus, Kilometer 15, Jalan Seremban -Kuala Pilah di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 10 malam itu turut menyebabkan lima lagi yang lain cedera.
Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki pasangan suami isteri masing-masing berusia 63 dan 58 tahun dari Kuala Pilah ke Seremban hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Kereta itu kemudian melanggar bahagian kanan sebuah Proton Persona sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh anggota tentera menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing beberapa kali.
"Kereta itu (Mercedes Benz) kemudian melanggar pula sebuah pikap jenis Toyota Hilux sebelum dilanggar oleh sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang pelajar," kata jurucakap polis ketika dihubungi di sini.
Dua daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mati ketika mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini. Lima yang cedera pula dilaporkan stabil. - KOSMO!
No comments:
Post a Comment