Photo courtesy: SENIMAS DEVELOPMENT SDN BHD
SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- Projek perintis rumah kedai mampu milik satu tingkat akan dibina di Bandar Sunggala, Port Dickson tahun ini, sebagai salah satu usaha untuk memberi peluang kepada peniaga kecil-kecilan memiliki kedai.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata projek rumah kedai mampu milik itu akan dibina dengan kerjasama kerajaan dan syarikat pemaju perumahan.
"Harganya mampu milik, kalau rumah kedai sekarang ini tidak kurang RM750,000, dan rumah kedai mampu milik ini akan 50 peratus lebih murah," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Mohamad berkata dengan penawaran rumah kedai mampu milik, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah peniaga membuka gerai di bawah pokok dan tepi jalan.
"Hasrat kerajaan ialah untuk memastikan setiap orang diberi peluang yang sama supaya boleh memiliki lot kedai dan beroperasi di tempat yang sepatutnya," katanya.
Berkeluasan tidak kurang 20 kaki x 60 kaki, Mohamad berkata rumah kedai ini akan ditawarkan kepada peniaga di bawah skim Industri Kecil dan Sederhana.
Sementara itu, ditanya mengenai masalah perumahan tentera seperti yang disentuh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Mohamad berkata kerajaan negeri bersedia untuk membantu membina rumah bagi anggota tentera seperti di Port Dickson dan Gemas, yang mempunyai tanah tentera.
"Macam di Port Dickson, tanah tentera besar dan kerajaan negeri boleh bantu bina rumah untuk anggota tentera, tetapi dengan syarat Kementerian Pertahanan bagi kita perjanjian untuk sewa 15 ke 20 tahun supaya dapat semula pelaburan kita atau mereka boleh mendirikannya sendiri.
"Di Gemas pula, kita boleh buat rumah anggota tentera dalam kem ataupun di kawasan luar kem macam di kawasan Felda di Pasir Besar di mana kerajaan boleh ambil tanah daripada peneroka, mereka pun dah bersetuju, untuk kita bina kawasan perumahan anggota tentera di sana," katanya.
Mohamad berkata kerajaan negeri akan menghantar kertas cadangan berkenaan perkara ini ke Kerajaan Persekutuan supaya isu perumahan yang dihadapai oleh anggota tentera sekarang ini dapat diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment