NS dijangka terima faedah besar RMK-11

 
TELOK KEMANG 20 Mei - Negeri Sembilan dijangka menerima banyak faedah dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antaranya menyaksikan pertumbuhan baharu pembesaran kawasan Lembah Klang Yang Besar (Greater Klang Valley) di mana meliputi pembangunan holistik Lembah Visi Malaysia (Malaysia Vision Valley atau MVV) mencakupi daerah Seremban dan Port Dickson membabitkan kawasan seluas lebih 43,706 hektar.

Katanya, dengan pertumbuhan terancang dan pesat itu, bandar Seremban dan kawasan peranginan di Port Dickson akan berubah lanskapnya dengan menyaksikan pelaksanaan dibawah RMK-11 bermula pada tahun 2016.

“Saya yakin dan berharap, Ne­geri Sembilan dapat menerima faedah besar dalam RMK-11 dan sewaktu pembentangan pembangunan kepada Majlis Ekonomi Negara, cadangan pembangunan MVV telah diluluskan. Kita berharap itu akan disebut oleh Perdana Menteri, sewaktu membentangkan RMK-11 esok,'' katanya kepada pemberita di Port Dickson, dekat sini hari ini.
Mohamad berada di Lexis Hibiscus Port Dickson untuk melihat hotel terapung itu yang kini menjadi mercu baharu kepada pelancong dengan konsep reka bentuk bunga raya, selain mempengerusikan mesyuarat Exco di situ.

Dengan pembangunan yang holistik itu Mohamad berkata, kerajaan negeri perlu memikirkan kemudahan asas seperti tenaga elektrik dan air terawat yang dapat menampung keperluannya kelak.
“Kita membincangkan untuk membina satu lagi loji berse­belahan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi yang berkapasiti 400 juta liter sehari, yang mana boleh menampung ke­perluan bekalan air terawat sehingga tahun 2030. Pelan bekalan air yang ada pada loji sedia ada itu, cuma boleh menampung bekalan air sehingga tahun 2020,” katanya.

Jelasnya, dengan pembesaran wilayah MVV itu kelak dari Nilai, Seremban sehingga ke Port Dickson, keperluan air amat mendesak.

“Jadi kita meneliti di peringkat kerajaan negeri, sama ada mendapatkan geran daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pusat membinanya atau kerajaan negeri memohon pinjaman daripada Kerajaan Pusat, ataupun menggunakan kaedah seperti mana bekalan elektrik iaitu penjana tenaga bebas (IPP) kepada penjana air bebas (IWP),” tegasnya.

Maka dalam hal itu, kerajaan nege­ri sedang meneliti penggunaan IWP, yang mana projek itu diswastakan dengan syarikat terpilih membina loji, membuat paip dan sebagainya dengan pengkiraan bayaran balik selama 15 tahun dan membenarkan mereka beroperasi sehingga tempoh 25 tahun.
“Di pihak kerajaan pula, kita akan membeli semula air terawat itu daripada IWP berkenaan dengan kadar perjanjian yang akan ditentukan kelak. Penambahan loji Ngoi-Ngoi 2 itu kelak bagi keperluan daerah Seremban di bawah pertumbuhan baharu MVV,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta meneliti jumlah kuasa elektrik yang perlu dipertimbangkan di kawasan MVV berkenaan.

“Hal kadar atau tarif air dibawah pakej IPW itu kelak akan ditentukan. Mungkin dikategorikan kadarnya mengikut industri, komersial dan penggunaan domestik. Yang penting rakyat (pengguna domestik) akan dilindungi dalam tarif itu kelak,” katanya.

Mohamad memberitahu, loji kedua di Ngoi-Ngoi itu perlu dibuat dengan cepat kerana RMK-11 akan bermula pada tahun 2016, begitu juga MVV dan jika pembinaan itu mengambil masa tiga tahun, maka itu selepas tempoh itu adalah waktu yang baik untuk penyaluran air terawat berkenaan.
“Jika itu mendapat persetujuan Kerajaan Pusat, maka Negeri Sembilan adalah negeri pertama yang me­lakukannya secara IWP,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/negeri-sembilan/ns-dijangka-terima-faedah-besar-rmk-11-1.94005#sthash.h8jI3RBh.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment