PUTRAJAYA - Penghidap kencing manis, pneumonia dan asma dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami selesema bagi mengesan jangkitan influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Beliau berkata, rawatan awal adalah penting kerana penghidap kencing manis, pneumonia dan asma menghadapi risiko tinggi apabila dijangkiti H1N1.
"Bagi kes tertentu seperti penghidap kencing manis, pneumonia (jangkitan paru-paru) dan asma selepas mereka dapat kuman ini (H1N1) ia akan tingkatkan risiko mereka," katanya kepada pemberita di kementeriannya di sini hari ini.
Dr Subramaniam diminta mengulas mengenai kematian seorang wanita akibat jangkitan H1N1 di Hospital Port Dickson (HPD) awal minggu ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah dilaporkan berkata, mangsa yang juga seorang suri rumah mengalami simptom sesak nafas dan loya pada 5 Mei lalu sebelum dibawa ke HPD sehari selepas itu.
Dr Abdul Rahim dilaporkan berkata punca kematian wanita itu disahkan sebagai 'Severe Pneumonia' akibat H1N1. - Bernama
No comments:
Post a Comment