Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Mustapa Umar berkata penambahan jumlah lokasi itu mencatatkan keluasan hampir 11 hektar setakat ini.
"Langkah pemusnahan peringkat pertama dengan menggunakan racun di kesemua kawasan terlibat telah dilaksanakan dengan jaya oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar. Tindakan susulan akan dilakukan selepas ini bagi memusnahkan anak benih rumpai tersebut," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
Katanya pemantauan di setiap kawasan akan dilakukan dua minggu sekali bagi bagi memastikan tumbuhan ini terhapus sepenuhnya dengan kerjasama FELDA, FELCRA dan RISDA.
Menurut beliau, setakat ini, penularan rumpai miang Mexico di negeri ini dapat dikawal dan dibendung dengan baik.
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.
Bahan kimia yang terdapat pada rumpai miang Mexico (debunga, bahagian akar, daun dan batang) iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.
Gejala daripada tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, dan allergic rhinitis serta gangguan pada sistem pernafasan seperti selesema dan asma.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment