Image for illustration purpose.
SEREMBAN - Selepas kira-kira 17 tahun, akhirnya masalah kolam takungan air terbiar bersebelahan Dataran Seremban, di sini, hampir menemui jalan penyelesaian.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebuah bangunan setinggi 28 tingkat akan didirikan di situ, sekali gus menjadi Menara Bahagian Perkhidmatan.
Menurutnya, menara merangkumi podium perniagaan lima tingkat dan pejabat lapan tingkat itu dijangka akan menarik ramai pengunjung apabila siap kelak.
“Sebelum ini kawasan tersebut merupakan projek terbengkalai dan pemilik baharu telah diberi kebenaran untuk membina menara berkenaan selepas pindaan pelan projek terdahulu iaitu membina pusat membeli-belah dan menara hotel.
“Pindaan pelan dibuat kerana bandar ini belum bersedia menampung hotel yang mempunyai banyak bilik dan pelan pembangunan menara 'service department' dicadangkan kerana diyakini lebih mendapat sambutan,” katanya.
Tambahnya, pembinaan menara itu akan dijalankan dalam masa terdekat berikutan pihak kontraktor perlu meneliti kekuatan konkrit di kawasan tapak pembinaan.
“Kerja-kerja awal sudah dimulakan pemaju dengan mengeringkan air kolam takungan. Sebelum ini, kawasan tersebut dijadikan kolam bagi menampung tekanan bangunan parkir bersebelahan.
“Pemaju akan meneliti kekuatan konkrit dahulu sebelum memulakan pembinaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri
Sembilan (Pekerti) di Dewan Pekerti, di sini, semalam.
Turut serta, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin selaku Yang Dipertua Pekerti.
Mohamad berkata, apabila menara itu siap kelak, ia akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai berikutan berhampiran dengan kawasan riadah dan rehat Dataran Seremban.
“Beberapa kafe terkenal akan dibuka dengan menghadap dataran dan akan menjadi tempat yang cantik dan ia akan menambah lagi produk pelancongan dan pusat membeli-belah,” katanya.
Sebelum ini, kolam takungan terbiar itu terhasil berikutan projek terbengkalai disebabkan kegawatan ekonomi pada 1997.
Masalah itu bukan saja mencemarkan permandangan sekitar bandar Seremban, malah kolam yang pernah menerima jolokan sebagai 'kolam terbiar bersaiz olimpik' itu turut menyebabkan pembiakan aedes. -sinar harian-
No comments:
Post a Comment